
Abū Ĥāmid al-Ghazālī, (1058-1111) (Bahasa Parsi: ابو حامد محمد ابن محمد الغزالی) yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggapi sebagai al-mujaddid untuk kurunnya.
Nama penuhnya Muĥammad ibn Muĥammad ibn Muĥammad ibn Aĥmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazālī aţ-Ţūsī. Nama panggilannya (kunyah)
pula Abū Ĥāmid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan
kepadanya ialah Ĥujjatul-Islām, Sirāj al-Mujtahidīn dan Zain al-'Ābidīn.
Riwayat Hidup
Abu Hamid al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorasan.
Keluarga Abū Ĥāmid al-Ghazālī kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri.
Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazālah ke kota Ţūs untuk
dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia
juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati. Dia suka bergaul dengan
al-'ulamā' dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama,
serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi
orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar uraian-uraian
daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar
dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga şāliĥ. Doanya itu telah diperkenankan
Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muĥammad. Pada hari tuanya, Muĥammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang şāliĥ, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan aş-şāliĥīn di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Ayah Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meninggal dunia ketika Abū Ĥāmid
al-Ghazālī berumur lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal
dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Aĥmad, telah hidup di
bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutaşawwif.
Si ayah ada mewasiatkan sedikit wang dengan sahabatnya itu bagi
membiayai kehidupan kedua-dua orang anaknya itu. Mereka pun mula belajar
membaca dan menulis daripada sahabat ayah mereka itu. Tetapi, setelah
beberapa waktu berlalu, wang belanja itu telah habis.
Maka pada suatu hari, berkatalah si sahabat ayah mereka itu kepada mereka:
- "Ketahuilah, telah aku belanjakan segala wang yang telah diwariskan untuk engkau berdua. Dan aku ini seorang lelaki yang miskin dan sering berada di dalam kesempitan. Oleh itu, aku nasihatkan engkau berdua supaya pergi ke Ţūs dan belajar di madrasah di sana. Engkau berdua boleh menuntut ilmu pengetahuan di sana, yang dapat mendatangkan kesenangan kepada engkau berdua dan menghasilkan pangkat yang tinggi".
Madrasah yang dimaksudkan itu ialah sebuah institusi pelajaran yang
diberikan nama al-Madrasah an-Niżāmiyyah. Ia telah diasaskan oleh Niżām
al-Mulk, perdana menteri kepada as-Sulţān Alp Arslān (yang berketurunan Seljuq). Al-Madrasah an-Niżāmiyyah juga turut membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya.
Niżām al-Mulk adalah seorang lelaki yang gemar kepada ilmu
pengetahuan dan gemar pula bergaul dengan para cerdik pandai. Dia juga
telah mendirikan beberapa madrasah, yang secara umumnya, dipanggil
al-Madrasah an-Niżāmiyyah, di beberapa tempat lain di dalam empayar
Kerajaan Banī al-‘Abbās (ad-Daulah al-‘Abbāsiyyah) ketika itu, seperti
di Baghdād, al-Başrah, Mosul (Mauşil), Isfahan, Nīsyābūr, Merv, Balkh
dan Herat.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī mengenai sebab dia dan adiknya pergi menuntut ilmu:
- "Kami telah menuntut ilmu kerana ghairillāh (sesuatu selain daripada Allah, yakni al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi menuntut ilmu tidaklah benar-benar ikhlas kerana Allah)... "
Maka berangkatlah dua orang adik-beradik itu ke Ţūs.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu fiqh daripada seorang 'ālim yang bernama asy-Syaikh Aĥmad ibn Muĥammad ar-Rādhakānī. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Aĥmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf.
Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke Jurjān (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgān dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Ţūs) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama asy-Syaikh Abū Naşr Ismā‘īl ibn Mas‘adah al-Ismā‘īlī.
Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah
menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu.
Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah
dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat
menyayangi nota-notanya itu.
Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun
pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota
pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak
bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah
ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap
anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap
barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun
itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau
mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini."
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin
mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka
bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang
sudah bertulis. Mereka pun bertanya, "Apa ini?"
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik
peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku
dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya."
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata,
"Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi
ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan
ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah
ilmu yang sebenar!"
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.

Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki
itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni
diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan
kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai
semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku
telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis."
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat
dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir,
telah datang daripada seorang penyamun jalanan!"
Ketika berada di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah sempat
bernikah, dan sepanjang hidupnya, telah dikurniakan oleh Allah dengan
empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Tetapi
malangnya, anak lelakinya yang bernama Ĥāmid itu, telah mati ketika
masih kecil lagi.
Pada tahun 473 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke
al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr dan telah berguru dengan
seorang syaikh yang sangat terkenal di waktu itu, bernama asy-Syaikh
Điyā’uddīn Abū al-Ma‘ālī 'Abdul Mālik ibn ‘Abdullāh al-Juwainī. Guru ini
juga dikenali umum dengan nama Imām al-Ĥaramain kerana dia pernah
mengajar di Masjid al-Ĥarām di Makkah dan di Masjid an-Nabawī di
al-Madīnah al-Munawwarah.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah seorang penuntut yang pintar dan
disayangi pula oleh Imām al-Ĥaramain. Pernah gurunya ini memuji al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī dengan mengatakan bahawa al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Ini menandakan
betapa dalam dan luasnya ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī. Malah telah dikatakan juga oleh beberapa orang pengkaji
bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī memiliki darjah kecerdasan yang
sangat tinggi, di paras genius.
Di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr, tanda-tanda ketajaman
otak al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang luar biasa itu telah mula
kelihatan. Di pusat pengajian tinggi ini, dia telah belajar ilmu-ilmu
agama dan ilmu-ilmu bahasa seperti ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu kalam
dan ilmu perdebatan. Semua ilmu-ilmu ini telah dikuasainya dengan
mudah. Dan di sini jugalah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mula
menulis kitab-kitabnya yang banyak itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang ‘ālim yang
gemar mempelajari bermacam-macam jenis ilmu. Ini telah diceritakan oleh
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī sendiri di dalam kitabnya yang bernama
al-Munqidh Min ađ-Đalāl.
- "Sejak aku masih muda lagi, yakni belum pun aku mencapai umur dua puluh tahun sehingga sekarang, dan kini umurku telah melebihi lima puluh tahun, aku telah terjun ke dasar laut (yakni ilmu) yang dalam ini. Tiada aku hiraukan segala kesulitan dan telah aku kumpulkan seluruh keberanianku.
- Setiap jurang aku masuki sehingga aku sampai ke dasarnya. Setiap kemusykilan aku bongkar sehingga aku temui jawapannya yang jelas. Aku selidiki setiap kepercayaan dari setiap golongan. Aku korek hingga sampai ke dasar rahsia tersembunyinya. Ini semua telah aku lakukan agar aku dapat membezakan di antara yang benar dengan yang palsu, yang sunnah dengan yang bidaah.
- Ketika aku bertemu dengan golongan batiniah, aku telah memeriksa dengan penuh teliti segala isi ajaran mereka. Ketika aku bertemu dengan kaum zahiriah pula, aku telah menyelidiki segala isi kandungan dan selok-belok ajaran mereka. Demikianlah halnya aku teruskan dengan setiap golongan.
- Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli falsafah, aku telah bergaul dengan mereka sehingga aku dapat mendalami cara pemikiran falsafah mereka. Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli ilmu kalam, aku telah bergaul dengan mereka sehingga aku dapat mengikuti dan menyelidiki pokok-pokok pegangan hujah-hujah mereka.
- Begitu juga apabila aku berdamping dengan para sufi, aku telah berusaha sehingga aku dapat mengetahui rahsia-rahsia kesufian. Ketika aku bergaul dengan ahli-ahli ibadat, aku telah mengkaji kesan-kesan amal ibadat mereka itu. Dan tiadalah aku temui kaum zindiq dan kaum engkar melainkan aku telah menyelidiki sebab-sebab dan latar belakang yang telah menjadikan mereka berpegangan demikian.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu tasawuf daripada
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī aţ-Ţūsī (dilahirkan
pada tahun 409 Hijrah di Fārmadh, yang terletak di dalam daerah Ţūs),
seorang 'ālim dan faqīh, yang lebih terkenal di hari
tuanya sebagai seorang guru sufi. Di bawah bimbingan gurunya ini,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mengamalkan beberapa latihan rohani,
tetapi dia tidak sempat mencapai tahap kesempurnaan, kerana gurunya ini
telah meninggal dunia pada tahun 477 Hijrah.
- (Fārmadh yang pernah dieja sebagai فارمذ pada zaman silam kini dieja dieja sebagai Fārmad فارمد)
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga ada bertemu dan belajar dengan
beberapa orang guru sufi lain, dan salah seorang daripada mereka ialah
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī. Dan di tangan guru sufi
inilah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menerima beberapa pembukaan
rohani tambahan, yang tidak sempat diterimanya semasa dia berguru dengan
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī.
Sebenarnya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu dahulu dengan
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī sebelum bertemu dengan
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, dan setelah
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī meninggal dunia,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu semula dengan asy-Syaikh Abū
Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī untuk menerima ajaran-ajaran tambahan di
dalam ilmu tasawuf.
Seperti keadaan asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī,
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī pernah berguru dengan
asy-Syaikh Abū al-Ĥasan al-Kharqānī dan selepas itu dengan asy-Syaikh
Abū al-Qāsim 'Abdullāh ibn 'Alī al-Jurjānī pula. Asy-Syaikh Abū Bakr
Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī telah meninggal dunia pada tahun 487 Hijrah.
Beberapa waktu setelah Imām al-Ĥaramain meninggal dunia pada tahun
478 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah dijemput ke sebuah tempat
bernama al-Mu‘askar untuk bertemu dengan Niżām al-Mulk.
Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian
ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang 'ālim yang
besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama
lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā' dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua
profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama
dengan Universiti Islam pada hari ini).
Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru
tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan
gelaran Syaikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini
dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar,
yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah
menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang 'ālim yang
sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai
berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula
ilmunya.
Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak
berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya
telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi
jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh
diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah
menyebabkannya jatuh sakit.
Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu
kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya,
seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota
Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata
kerana Allah Ta'ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab
duniawi.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:
- Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-'alā'iq).
- Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah. Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
- Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah. Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta'ala. Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.
Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang
meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu
tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī.
Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
- Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.
- Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu. Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
- Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya. Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh. Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
- Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
- Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya. Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
- Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
- Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
- Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku. Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
- Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
- Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.
Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah
an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta
adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya
itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta
benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan
untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal
perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak
wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan
yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat
haji.
Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju
ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga
telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik
al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid
itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di
sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah
diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat
di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala
itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut
asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)
Peninggalannya
Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak sekali
dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal hingga
ke hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja.
Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis di dalam bahasa Arab, dan ada juga yang telah ditulis di dalam bahasa Parsi. Di antara kitab-kitab al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang lebih terkenal di negara Malaysia ialah:
- ar-Risālah al-Ladunniyyah;
- al-Munqidh Min ađ-Đalāl;
- Bidāyah al-Hidāyah;
- Minhāj al-‘Ābidīn;
- Mīzān al-'Amal;
- Kīmiyā' as-Sa'ādah;
- Misykāh al-Anwār; dan
- Iĥyā' 'Ulūmiddīn. sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Hamid_Al-Ghazali